Page 32 - New Buletin.docx
P. 32
Cara-Cara MeMUPUK Amalan Membaca
Dalam Kalangan Remaja
Ditulis oleh: Tan Iyi Yett – Jr1Z(1)
Membaca jambatan ilmu. Pada zaman modenisasi ini, amalan membaca semakin kurang diamalkan dalam kalangan
remaja kerana terlalu sibuk dengan urusan harian. Sebaliknya, amalan membaca harus dititikberatkan dan tidak harus
diabaikan oleh remaja bagai melukut di tepi gantang. Lantaran itu, remaja wajar memupuk amalan membaca supaya
dijadikan tabiat dalam kehidupan mereka. Persoalannya, apakah cara-cara untuk memupuk amalan membaca?
Memang tidak dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang mustahak dalam usaha memupuk amalan
membaca dalam sanubari anak-anak sejak kecil lagi bagai melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini dikatakan
demikian kerana anak-anak sentiasa menurut perbuatan ibu bapa kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Misalnya, ibu bapa boleh membaca majalah berbentuk ilmiah di hadapan anak-anak mereka. Impaknya, anak-anak
akan menjadikan amalan membaca sebagai rutin harian mereka.
Selain itu, pihak sekolah harus melaksanakan tanggungjawab untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan
pelajar. Misalnya, pihak sekolah boleh mengadakan kempen bertemakan amalan membaca untuk menggalakkan
pelajar-pelajar membaca pada masa senggang. Bukan itu sahaja, program bacaan pagi yang dilaksanakan oleh pihak
sekolah dapat mengelakkan pelajar-pelajar membuang masa atau berbual kosong apabila mereka tiba di sekolah.
Dengan ini, amalan membaca dapat dipupuk dalam sanubari remaja. Di samping itu, pihak kerajaan perlu
memperkasakan program yang dapat memupuk amalan membaca dalam kalangan remaja. Contohnya, pihak kerajaan
boleh menjalankan kempen kesedaran secara istiqamah untuk menyedarkan remaja tentang peranan mereka sebagai
aset negara. Bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Tambahan pula, pihak kerajaan perlu
melaksanakan program NILAM untuk mencapai objektif bagi menyuburkan amalan membaca dalam kalangan
remaja. Oleh itu, pelajar-pelajar yang suka membaca akan dilahirkan melalui program tersebut.
Akhir sekali, media massa patut menyebarkan kepentingan amalan membaca dalam kalangan remaja. Hal ini
dikatakan demikian kerana golongan remaja sentiasa terdedah dengan media massa. Contohnya, media massa boleh
menghebahkan kepentingan amalan membaca dan mempromosikan Pesta Jualan Buku yang berlangsung di Pusat
Konvensyen The Mines melalui aplikasi Instagram atau Facebook. Impaknya, golongan remaja akan mempunyai
kesedaran untuk mempraktikkan amalan membaca.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai usaha untuk meningkatkan amalan membaca dalam kalangan remaja. Oleh itu,
semua pihak wajar berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk menggalakkan amalan membaca dalam kalangan
remaja. Seperti kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Dengan ini, pelajar yang berpengetahuan luas
dapat meneraju negara ke peringkat yang lebih tinggi. Kesannya, negara Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri
sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.
30