Page 23 - SUARA KC NOVEMBER 2021-2022
P. 23
Fungsi UNTUK sebagai kata sendi nama
a) Dalam penggunaan 'untuk' menunjukkan kegunaan untuk sesuatu, kata sendi nama, 'untuk'
dapat bervariasi dengan kata sendi nama, 'bagi'.
Ayat contoh:
1. Rumah (untuk/bagi) pekerja-pekerja estet telah dibaiki.
2. Van itu (untuk/bagi) kegunaan kakitangan pejabat sahaja.
b) Dalam penggunaan untuk menyatakan maksud bahagian yang ditentukan atau
diperuntukkan, 'untuk' tidak boleh bertukar ganti dengan 'bagi'.
Ayat contoh:
1. Beg baharu ini untuk adik. (/)
2. Beg baharu ini bagi adik. (x)
3. Untuk siapakah hidangan di atas meja itu? (/)
4. Bagi siapakah hidangan di atas meja itu? (x)
Ayat yang menggunakan “untuk” sebagai kata sendi nama di atas merupakan ayat tunggal .
Fungsi UNTUK sebagai kata hubung
'untuk' berfungsi sebagai kata hubung pancangan komplemen yang letaknya di hadapan
frasa kerja.
Ayat contoh:
1. Dia berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan yang cemerlang.
2. Kumpulan itu menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan kemelut itu.
Ayat yang menggunakan “untuk” sebagai kata hubung merupakan ayat majmuk yang dapat
dipisahkan menjadi dua ayat tunggal
Contoh:
a) Dia berusaha dengan bersungguh-sungguh.
b) Dia mencapai kejayaan yang cemerlang.
21