Page 37 - New Buletin.docx
P. 37
Kebaikan Makan
Buah-buahan Tempatan
Disediakan Oleh: Audrey Liew (JR3M1)
Buah-buahan tempatan sangat penting untuk kesihatan badan. Terdapat buah-buahan tempatan di
Malaysia iaitu betik, durian, tembikai, nanas dan sebagainya. Namun begitu, buah-buahan
tempatan semakin kurang dimakan oleh masyarakat. Pada era globalisasi ini, buah-buahan
tempatan patut dipromosikan dan tidak harus diabaikan oleh masyarakat bagai melukut di tepi
gantang. Kita haruslah mengekalkan pemakanan buah-buahan supaya menjadi tabiat dalam
kehidupan kita. Persoalannya, apakah kebaikan-kebaikan makan buah-buahan tempatan?
Pada hemat saya, buah-buahan tempatan boleh membekalkan khasiat dan vitamin kepada badan
kita. Hal ini dikatakan demikian kerana buah-buahan tempatan kaya dengan serat dan fiber yang
penting untuk kesihatan badan manusia. Sebagai contoh, pelbagai vitamin yang dibekalkan oleh
buah-buahan seperti vitamin A, B dan C yang turut meningkatkan imunisasi badan kita.
Kesannya, buah-buahan tempatan bukan sahaja dapat membantu sistem pencernaan badan
malahan dapat mencantikkan kulit. Jelasnya, buah-buahan tempatan dapat membekalkan khasiat
dan vitamin kepada badan manusia.
Selain itu, masyarakat yang sering makan buah-buahan tempatan dapat menjana pendapatan
petani dan negara kita. Hal ini dikatakan demikian kerana permintaan rakyat terhadap buah-
buahan tempatan semakin tinggi dari setahun ke setahun. Contohnya, harga durian semakin
mahal tetapi permintaannya lagi tinggi kerana menjadi pilihan masyarakat. Dengan itu,
pendapatan petani turut memperoleh keuntungan yang lumayan. Oleh itu, masyarakat patutlah
menghasilkan pendapatan yang lumayan kepada negara.
Seterusnya, masyarakat berpeluang menikmati kesedapan buah-buahan tempatan dengan harga
yang berpatutan. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat tidak harus membayar duti import
buah-buahan tempatan. Misalnya, harga sekilogram tembikai lebih murah berbanding dengan
tembikai yang diimport dari luar negara. Implikasinya, masyarakat dapat menikmati buah-buahan
tempatan yang berkhasiat dengan harga yang berpatutan, bak kata peribahasa, "alah membeli
menang memakai". Secara tuntas, buah-buahan tempatan lebih murah daripada buah-buahan luar
negara.
Makan buah-buahan tempatan turut menjadi penarik kepada pelancong asing untuk melancong ke
negara kita. Hal ini berlaku kerana buah-buahan tempatan jarang dijumpai di luar negara. Sebagai
contoh, buah durian tidak dapat ditanamkan di luar negara yang beriklim sejuk. Buah-buahan
tempatan juga boleh dijadikan buah tangan kepada saudara terdekat. Tuntasnya, buah-buahan
tempatan boleh menarik hati pelancong asing.
Kesimpulannya, terdapat banyak kebaikan makan buah-buahan tempatan di negara kita. Oleh itu,
semua pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama dengan pihak kerajaan. Bak kata pepatah,
“berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.”
35